UVH Dalam Harian Metro | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
» BERITA » UVH dalam Harian Metro

UVH dalam Harian Metro

    Bagi pemilik haiwan kesayangan seperti kucing, anjing, burung atau reptilia, rutin mengunjungi klinik veterinar bukan lagi perkara asing, malah ada sudah arif perkhidmatan dan kaedah rawatan ditawarkan.

    Namun, jika diceritakan mengenai hospital veterinar yang menawarkan prosedur rawatan, layanan, wad dan bilik bedah sama seperti manusia, pasti ada yang sukar percaya.

    Andai ditokok pula dengan cerita adanya unit rawatan rapi (ICU), wad kuarantin, khidmat endoskopi, sonografi, pembedahan jantung dan rawatan kanser, tidak mustahil pula ramai yang ketawa.

    Hospital Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) dilengkapi semua kemudahan itu hingga ramai yang tidak percaya apabila kucing dirawat seperti manusia.

    Ketika melangkah masuk ke ruang menunggu Hospital Veterinar Universiti (UVH) itu minggu lalu, saya juga tersenyum sendiri.
    Melihat gelagat kucing di sangkar dan burung bersandar di bahu tuan empunya, saya geleng kepala sambil sempat berjenaka, "Takkanlah kucing pun ada kanser, kimoterapi dan bedah jantung?"

    Namun, sebaik melangkah masuk bersama Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar Prof Madya Dr Gurmeet K Dhaliwal, saya jadi kagum.

    Kaunter depan UVH dibahagi kepada dua iaitu anjing dan kucing. Kata Dr Gurmeet, pembahagian itu penting bagi mengawal tekanan dan emosi haiwan setiap kali mendapatkan rawatan di situ.

    Proses pendaftaran berlangsung di kaunter sebelum pemilik haiwan dipanggil masuk bersama binatang kesayangan untuk diperiksa.

    "Setiap haiwan bermasalah di sini dipanggil pesakit dan mereka perlu melalui saringan awal bagi mengenal pasti jenis penyakit, diet, aktiviti harian serta latar belakang kehidupannya".
    "Prosedur ini perlu dilaksanakan dalam bilik rawatan oleh doktor veterinar bertauliah dengan bantuan pelatih dan kerjasama pemilik haiwan".
    "Sementara peralatan dan kemudahan yang digunakan adalah yang terkini," katanya.

    Menurut Dr Gurmeet, haiwan yang dikenal pasti mengalami simptom penyakit berjangkit perlu diasingkan dalam Wad Kuarantin.

    "Bagi kes biasa, haiwan dibenarkan pulang dengan pemerhatian pemilik. Namun bagi kes kritikal atau separa kritikal, haiwan perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan rawatan lanjut," katanya.

    Di ICU hospital, penulis sempat melihat seekor kucing dalam keadaan kritikal akibat terjatuh dari tingkat sembilan pangsapuri tuannya.

    Haiwan itu bernasib baik kerana ditemui pemiliknya dalam tempoh 24 jam sebelum dikejarkan ke UVH. Pemeriksaan awal mendapati ususnya cedera dan disahkan berdepan masalah 'severe septic shock'.
    v Berikutan itu, kucing terbabit terpaksa ditempatkan di 'katil' khas dengan bekalan oksigen dan drip cecair mencukupi.

    Pelbagai senario boleh dilihat di UVH, hinggakan soal hidup mati haiwan kesayangan ditangani serius umpama berdepan nyawa manusia.

    Kata Dekan Fakulti Perubatan Veterinar Prof Dr Mohd Hair Bejo, pihaknya cuba memberikan rawatan dan perhatian terhadap haiwan sama seperti manusia kerana beranggapan setiap nyawa adalah bernilai.

    "Ini bukan perkhidmatan (UVH) baru sebaliknya kita sudah mula menawarkan khidmat sejak di bangunan lama. Tahun lalu saja UVH mencatatkan sejumlah 15,251 kes merangkumi haiwan kesayangan, haiwan besar, avian, eksotik, akuatik dan hidupan liar".

    "Malah angka kes yang dirujuk ke sini mencatatkan peningkatan memberangsangkan setiap tahun," katanya.
    Jelas Dr Mohd Hair, UVH ditubuhkan sejak 1975 oleh Fakulti Perubatan Veterinar, UPM bermula dengan sebuah klinik haiwan kesayangan dan klinik bergerak.

    Perkhidmatan itu kemudiannya disokong perkhidmatan makmal yang sederhana, namun UVH hari ini menjadi sebuah hospital yang dilengkapi kemudahan terkini.

    "Sebagai sebuah hospital pengajaran, UVH dilengkapi pelbagai peralatan diagnosis, rawatan penyakit haiwan, kemudahan makmal serta bilik bedah khas".

    "Selain menawarkan perkhidmatan pesakit luar, UVH turut memiliki kepakaran dalam bidang perubatan, pembedahan veterinar, pengimejan dan diagnosis makmal," katanya.

    Tidak terhad kepada haiwan kesayangan saja, Dr Mohd Hair berkata, UVH turut menawarkan perkhidmatan Klinik Bergerak kepada pengusaha ladang ternakan, penternak dan pemilik haiwan rekreasi.

    "Wad bagi haiwan besar juga disediakan di hospital ini dan kita mempunyai kepakaran luas dalam bidang perubatan ruminan, ekuin dan khinzir".

    "Melengkapkan fungsi, UVH juga menawarkan pemeriksaan kesihatan bagi spesies ikan dan udang melalui Unit Kesihatan Haiwan Akuatik," katanya.

    INFO:

    - Ditubuhkan sejak 1975.
    - Dinobatkan sebagai hospital veterinar terbesar di Malaysia dan memiliki peralatan tercanggih di Asia Tenggara.
    - Premis barunya dilengkapi 11 bilik konsultasi termasuk rawatan kecemasan, bilik onkologi dan bilik oftalmologi.
    - Wad Kucing boleh menampung 61 ekor haiwan kesayangan.
    - Wad Anjing mampu menempatkan 22 anjing dalam satu masa.
    - Wad ICU boleh memuatkan 15 pesakit kritikal.
    - Wad Kuarantin mampu menempatkan 27 haiwan yang menghidap penyakit berjangkit.
    - Terdapat enam bilik bedah dilengkapi peralatan terkini.
    - Spesies haiwan besar boleh dirawat di bilik bedah khusus yang lebih luas.
    - Kebanyakan haiwan besar seperti kuda, kambing, lembu dan khinzir dirawat di ladang ternakan.
    - Selain rawatan, UVH turut menawarkan khidmat vaksinasi.
    - Proses pengajaran dan pembelajaran di UVH disokong kepakaran perunding dan pegawai veterinar dari enam jabatan.
    - Perkhidmatan ditawarkan termasuk pengesanan, rawatan penyakit, kesihatan kelompok, kawalan penyakit, ultra bunyi dan khidmat nasihat.
    - Antara haiwan peliharaan yang biasa di bawa ke UVH ialah kucing, anjing, arnab, burung, reptilia dan haiwan eksotik.

    http://www.hmetro.com.my/articles/UnitICUhaiwan/Article

    Tarikh Input: | Kemaskini: | mjamil

    PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
SXEYBAS~