| FAKULTI PERUBATAN VETERINAR

Dr. Mohd Mokrish menang Anugerah Saintis Muda Program MAB UNESCO

Dr. Mohd Mokrish menang Anugerah Saintis Muda Program MAB UNESCO

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang

 

 

 

SERDANG, 22 Julai - Pensyarah kanan, Biokimia Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Mokrish Md Ajat memenangi Anugerah Saintis Muda Program Manusia dan Biosphere (MAB) UNESCO 2016.

Pemilihan itu dilakukan oleh Majlis Penyelarasan Antarabangsa Program Manusia dan Biosphere (MAB) UNESCO, pada sesi ke-28 majlis itu di Lima, Peru, baru-baru ini.

Dr. Mohd Mokrish dimaklumkan mengenai pemilihan beliau sebagai pemenang oleh Pengarah Bahagian Ekologikal dan Sains Bumi, Han Qunli yang juga Setiausaha Program MAB melalui emel yang dihantar kepadanya.

Program MAB yang dimulakan pada 1989 memberi geran sehingga AS$5,000 sebagai galakan kepada penyelidik muda di bawah umur 40 tahun untuk menjalankan kajian serta penyelidikan berkaitan eko-sistem, sumber asli dan kepelbagaian-bio. 

Katanya, beliau terkejut apabila mendapat emel daripada sekretariat MAB UNESCO di Paris memaklumkan kemenangannya itu.

“Saya awalnya tidak percaya, saya ingatkan emel SPAM. Saya kemudian merujuk kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk pengesahan,” katanya dalam temu bual. 

Dr. Mohd Mokrish berkata melalui geran yang diterimanya itu, beliau akan menjalankan kajian “Penilaian Kesedaran Penyakit Zoonotik Di Kalangan Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah di Malaysia.” 

“Pada peringkat awal, penyelidikan ini akan membabitkan 160 pelajar beberapa buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Lembah Klang,” katanya..

Beliau berkata penyelidikan akan dilakukan dari Oktober hingga November depan, dan dari Februari hingga Mei 2017 sebelum laporan hasil kajian itu dihantar kepada Program MAB pada Ogos 2017.

Katanya, kajian dan penyelidikan itu bertujuan mendidik dan meningkatkan kesedaran pelajar mengenai penyakit zoonotik agar mereka mengetahui cara-cara menghindarnya.

Ia termasuk penyakit kencing tikus atau ‘leptospirosis’ agar mereka dapat mengambil langkah-langkah sewajarnya ketika pergi berkelah atau mandi di kawasan air terjun, dan agar mereka juga mengetahui bahawa parasit daripada haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing boleh berjangkit kepada manusia.

“Kita akan gunakan fasiliti di UPM, termasuk membawa pelajar ini ke EDU Park dan Dairy Farm untuk melihat proses pengambilan susu lembu,” katanya. – UPM



 

SXDdDAW~