| FAKULTI PERUBATAN VETERINAR

Bengkel Sukarelawan Terapi Berkuda bersama RDA Malaysia

AMPANG, 6 Okt - Kelab Ekuestrian Putra dengan kerjasama Persatuan Menunggang Bagi Orang Kurang Upaya Malaysia atau lebih dikenali dengan nama Riding for the Disabled (RDA) Malaysia menganjurkan Bengkel Sukarelawan Terapi Berkuda di Kelab Polo Diraja Selangor, Ampang pada 5 dan 6 Oktober lalu.

Program disertai 18 peserta dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti MAHSA. Ia bertujuan mengajar dan melatih pelajar universiti menjadi sukarelawan terlatih dalam bidang terapi berkuda untuk kanak-kanak istimewa.

Program itu merupakan sebahagian daripada program kolaborasi jangka panjang antara Kelab Ekuestrian Putra dan RDA, dan bertindak sebagai latihan asas bagi para sukarelawan sebelum Program Terapi Berkuda yang dijadualkan bermula pada 27 Oktober.

Penasihat Kelab Ekuestrian Putra, Prof. Madya Dr. Nurul Hayah Khairuddin menginspirasikan program kesukarelawan terapi berkuda ini bagi ahli Kelab Ekuestrian Putra supaya ahli kelab dapat menyumbang bakti membantu kanak-kanak autistik melalui aktiviti terapi berkuda di bawah bimbingan RDA.

“Program Terapi Berkuda untuk anak-anak autistik ini akan diadakan pada setiap pagi Ahad di Unit Ekuin, Taman Pertanian Universiti, UPM,” katanya.

Ketua Jurulatih Terapi Berkuda, Muthusamy Kandasamy telah menyatakan minat untuk berkongsi pengetahuan mengenai terapi berkuda kepada masyarakat serta institusi pendidikan lain.

“Kerjasama di antara Kelab Ekuestrian Putra dan RDA ini akan menjadi platform untuk memperluaskan pengetahuan pelajar UPM tentang terapi berkuda selain memupuk sifat kasih dan empati terhadap komuniti kanak-kanak istimewa,” katanya - UPM

SXESPAv~